Tidur dianggap sebagai ibadat seorang hamba kepada Penciptanya, sekiranya seseorang itu tidur mengikut sunnah Rasulullah SAW.
Bagi memperjelaskan soalan anda, eloklah jika kita dapat melihat
gambaran sunnah Nabi SAW dan adab-adab tidur seperti yang dikemukakan
dalam kitab Syamail Muhammad SAW.
Antara hadis yang menerangkan adab tidur Nabi SAW adalah sebuah hadis
riwayat Bukhari dan Muslim bermaksud: “Jika kamu akan tidur maka
berwuduklah bagaikan kamu akan sembahyang, kemudian berbaring atas
pinggang kanan dan bacalah doa ini (seperti doa yang dijelaskan selepas
ini) dan jadikanlah bacaan doa itu yang terakhir daripada bacaanmu
(perkataanmu).”
Dalam sebuah hadis diterangkan: Al-Barra’ bin Azib berkata: “Adalah
Rasulullah SAW jika akan tidur, mengiring ke sebelah kanan kemudian
Baginda membaca: Maksudnya: “Ya Allah aku serahkan diriku kepada-Mu dan
menghadapkan mukaku kepada-Mu dan menyerahkan semua urusanku kepada-Mu
dan menyandarkan belakangku kepada-Mu kerana mengharap dan takut
kepada-Mu, tiada perlindungan dan tiada tempat selamat daripada seksa-Mu
kecuali kembali kepada-Mu. Aku beriman kepada kitab yang Engkau
turunkan dan Nabi yang telah Engkau utus.” (Hadis riwayat Bukhari).
Dalam riwayat yang berasingan yang turut diriwayatkan oleh Al-Bara’
bin ‘Azib, beliau berkata: “Se sungguhnya Nabi SAW apabila berbaring di
tempat tidurnya, Baginda akan meletakkan telapak tangannya yang kanan di
bawah pipinya yang kanan, lalu berdoa: “Rabbi qinii ‘adzaabaka yawma
tab’atsu ‘ibaadaka (Ya Tu hanku, peliharalah aku dari azab-Mu pada hari
Kau bangkitkan seluruh hamba-Mu).” (HR. At-Tirmidzi).
Hudzaifah pula meriwayatkan: “Apabila Rasulullah SAW berbaring di
tempat tidurnya, maka Baginda berdoa: “Allahumma bismika amuutu wa ahyaa
(Ya Allah, dengan Asma-Mu aku mati dan aku hidup).” Dan jika bangun
dari tidurnya beliau berdoa: “Alhamdu lillaahill adzii ahyaanaa ba’da
maa amaatanaa wa ilayhin-nu syuur (Segala puji bagi Allah, yang telah
menghidup kan aku kembali setelah mematikan aku, dan kepada- Nya tempat
kembali).” (HR. At-Tirmidzi).
Menurut Ummul Mukminin Aisya, yang berkata: “Apabila Rasulullah SAW
berbaring di tempat tidurnya, Baginda akan menghimpunkan kedua-dua
telapak tangannya, lalu meniup kedua-duanya dan dibaca pada kedua-duanya
surat Al-Ikhlash, Al-Falaq, dan An-Naas. Kemudian disapunya seluruh
badan yang dapat disapunya dengan kedua-dua tangannya. Baginda memulakan
dari kepalanya, mukanya dan bahagian depan badannya. Beliau
melakukannya sebanyak tiga kali.” (HR. At- Tirmidzi , lihat Kitab Sya
mail Muhammad cetakan Telaga Biru, halaman 167-168).
Walaupun kita digalakkan mendahulukan posisi tidur di atas sisi
sebelah kanan (rusuk kanan) dan berbantal dengan tangan kanan, namun
tidaklah menjadi masalah apabila berubah posisinya ke sebelah sisi kiri.
Perkara ini berdasarkan sabda Rasulullah: “Berbaringlah di atas rusuk
sebelah kananmu.” (HR. Al-Bukhari dan Muslim).
Arahan Nabi dalam hadis ini bukanlah merujuk kepada suatu yang wajib
kerana dalam kesempatan yang lain Rasulullah SAW juga pernah mengubah
kedudukan tidur Baginda. Dalam hadis yang sahih ini, Rasulullah sudah
melakukan tidur secara terlentang dengan cara meletakkan satu kaki di
atas yang lain sebagai mana maksud hadis: “Daripada ‘Abbad bin Tamim,
daripada bapa saudaranya, bahawasanya Rasulullah SAW tidur terlentang di
masjid sambil meletakkan satu kaki di atas yang lain.” (Diriwayatkan
oleh Bukhari dan Muslim).
Berkaitan dengan tidur telungkup pula ada sebuah hadis yang merujuk
kepada tegahan Nabi SAW. Hadis ini bermaksud : “Tidak dibenarkan
telungkup dengan posisi perut sebagai tumpuannya sama ada ketika tidur
malam atau pun tidur siang. “Sesungguhnya (posisi tidur telungkup)
seperti itu adalah posisi tidur yang dimurkai Allah Azza Wa Jalla.” (HR.
Abu Daud dengan sanad yang sahih).
Sebagai tambahan, satu huraian lanjut yang bermanfaat untuk diketahui
oleh setiap Muslim, ada beberapa lagi adab yang dituntut amalannya
sebelum tidur agar tidur itu menjadi ibadat di sisi Allah SWT.
Ini disebabkan tidur adalah aktiviti harian yang tidak khusus kepada
anak-anak.
Menurut Ab Aziz bin Fathi as-Sayyid Nada dalam Kitab
Ensiklopedia Adab Islam, antara adab tidur yang menjadi amalan Nabi SAW
dan salafussoleh ialah:
Mengikhlaskan niat supaya tidur itu untuk memberi kekuatan untuk beramal selepas bangkit kelak.
Tidak tidur di tempat terbuka yang mudah dilihat manusia.
Elakkan tidur sewaktu kekenyangan.
Tidur dalam keadaan suci.
Tidur dalam keadaan berwuduk.
Membaca surah dan ayat yang menjadi amalan Nabi SAW sebelum tidur.
Bercelak dengan celak. Ini berdasarkan hadis yang yang bermaksud:
Hendaklah kamu tidur dengan bercelak kerana ia dapat mencerahkan
pandangan dan melebatkan bulu mata. (Riwayat al-Tirmizi, Ibn Majah dan
al- Hakim).
Mengerjakan solat sunat seperti witir sebelum tidur. Ini adalah
berpandukan ke pada hadis riwayat Ahmad yang bermaksud: “Orang yang
tidak tidur sehingga dia mengerjakan solat witir adalah orang yang
bertekad kuat.
Mengibas tempat pembaringan dengan hujung kain dan mengucapkan Bismillah seperti riwayat al-Tir mizi.
Bersiwak atau bersugi ketika bangun pada malam hari seperti yang diriwayatkan dari Ibn Adiy.
Sebagai kesimpulannya ada beberapa amalan yang wajar dilakukan bagi
menjadikan tidur kita sebagai sumber kerehatan dan sebab mendapat
reda-Nya. Manakala posisi tidur yang digalakkan berpandukan kepada hadis
adalah di atas dada bahagian kanan. Kemudian perubahan yang berlaku
dalam posisi selepas itu tidaklah menjadi masalah selagi tidak
berkeadaan telungkup. Wallahu a’lam.
Dipetik daripada,
No comments:
Post a Comment